Wednesday, February 27, 2008

Gagal serah borang di Kepala Batas, calon PMN diasak polis

KEPALA BATAS, 24 Feb (Hrkh) - Calon penaja Parti Mahasiswa Negara (PMN), Zainul Faqar Yaacob bersama Presiden Penaja PMN, Azlan Zainal dan seorang peguam, Balqis Nor Mohamad dihalang daripada memasuki Dewan Milenium untuk menyerahkan borang bertanding pilihan raya umum ke-12 atas tiket bebas di Parlimen P41 Kepala Batas pagi tadi.

Jelasnya ketika dihubungi, polis bertindak seolah PMN penjenayah kerana diasak dengan soalan serta melakukan empat sekatan sehingga ke pintu masuk Dewan Milenium.

"Sekatan itu menyebabkan kami tidak boleh bertanding sedangkan kami datang awal dan sempat masuk jika sekiranya tidak disekat, " ujarnya.

Menurutnya, sekatan pertama dilakukan polis untuk bertanyakan kesungguhan PMN sehingga menyalahkan kononnya borang tidak ada walhal semua borang ada pada salah seorang daripada kami yang disekat di peringkat pertama.

Pertandingan pilihan raya ke-12 kali ini menyaksikan satu lawan satu di parlimen Kepala Batas antara PAS dan Barisan Nasional (BN).

Parlimen Kepala Batas menyaksikan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ditentang oleh calon PAS, Ustaz Subri Md Arshad.

Sementara Dun Penaga calon PAS, Ustaz Tapiudin Hamzah menentang calon BN, Dato' Azhar Ibrahim. Dun Bertam menyaksikan calon BN, Zabariah ditentang calon KeAdiLan, Noorsiah Md Arshad manakala calon Pinang Tunggal Dato' Roslan Saidin ditentang calon KeAdiLan, Haji Mohamad Hashim. - mks.

Monday, February 18, 2008

PMN rakam penghargaan kepada KPT atas kebenaran bertanding pilihan raya


KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - Parti Mahasiswa Negara (PMN) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed atas kenyataan membenarkan mereka bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

PMN menerusi satu kenyataan akhbarnya yang dihantar kepada Harakahdaily menggambarkan pendirian yang diambil KPT sebagai suatu petanda yang positif kepada perjuangan mahasiswa.

"Ia merupakan petanda baik kepada mahasiswa bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bukan lagi menjadi penghalang utama kepada mahasiswa untuk terlibat sama dalam mencorakkan masa depan negara.

"Kami amat menghormati undang-undang, kerana kemunculan kami dalam pilihan raya kali ini adalah salah satu usaha yang mengikut lunas dan prosedur," ujar Presiden PMN, Azlan Zainal dalam kenyataan itu.

PMN juga katanya, merasakan AUKU perlu dikaji semula bagi membolehkan pemansuhan kepada beberapa fasal yang mengekang keterlibatan pelajar dengan politik.

"Mana mungkin dapat melahirkan generasi warga negara yang baik jika mereka tidak didedahkan secara menyeluruh dengan pendidikan politik yang akhirnya boleh menimbulkan kesedaran dan bijak memilih pemimpin mereka sendiri," katanya.

Ujar Azlan lagi, adalah tidak wajar mengenakan tindakan kepada mahasiswa yang prihatin dan peka ini dek kerana keterlibatan mereka secara langsung dalam kancah politik negara kerana ia adalah salah satu proses pembelajaran yang unik dan mematangkan mahasiswa selain membolehkan mahasiswa menunaikan amanah sebagai warga negara yang mewakili suara generasi muda Malaysia.

Pada pilihan raya ke-12 ini, Parlimen Kepala Batas, Parlimen Jeli dan Parlimen Semberong menjadi kawasan sasaran menandakan sikap optimis Parti Mahasiswa Negara (PMN) untuk terlibat secara langsung sebagai representasi Malaysia.

Dengan slogan "Mahasiswa Bersama Rakyat," generasi baru menuju ke arah Malaysia baru PMN menyatakan hasratnya yang bertujuan untuk memastikan dan mengangkat suara mahasiswa ke Parlimen Malaysia bagi membela hak rakyat dan membawa hasrat generasi muda secara terus kepada mantan pemimpin utama negara ini terutamanya pemimpin yang bertanggungjawab terus terhadap mahasiswa dan pelajar.

Dalam pada itu, PMN turut mencadangkan agar Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pelajaran mempunyai sekurang-kurangnya status bertaraf Professor, Professor Madya atau mempunyai PhD sebagai latar belakang pendidikan yang membolehkannya disegani dan dicontohi oleh para pelajar sebagai teladan yang baik.

Semalam, dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, PMN telah menyatakan untuk bertanding di Parlimen Kepala Batas bagi menentang Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi secara satu lawan satu.

Begitupun, permintaan mereka untuk mencapai tujuan itu masih belum diberikan jawapan oleh pihak pembangkang yang masih belum menamakan calon di kawasan itu. - mns

Sunday, February 17, 2008

PMN akan hantar calon ke Kepala Batas



KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) - Parti Mahasiswa Negara (PMN) akan tetap menghantar calon di Parlimen P041 Kepala Batas walaupun mendengar khabar angin bahawa PAS akan bertanding di sana.

Menurut satu kenyataannya kepada Harakahdaily, Presiden PMN, Azlan Zainal berkata pertimbangan mereka sangat jelas yakni mahu mengetengahkan isu kepentingan generasi muda dalam masyarakat sempena pilihan raya umum ke-12 ini.

"Pada hemat kami, pendekatan kita juga bukan untuk menyerang Pak Lah atau mana-mana pihak; tetapi lebih berkongsi hasrat baik mahasiswa dalam soal kepentingan generasi muda. Selebihnya, terpulanglah kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), juga parti-parti alternatif untuk menerima keberadaan kami ini," ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Pada masa yang sama, ujarnya, jika benar PAS mahu bertanding di Parlimen Kepala Batas, PMN mencadangkan PAS menilai semula keputusan pencalonan parti tersebut di sana.

"Ini adalah kerana PMN berhasrat untuk bersaing dengan bekas Perdana Menteri Malaysia; juga Pengerusi OIC ini secara 'satu lawan satu'. Jika PAS tetap meneruskan niat untuk bertanding di Parlimen Kepala Batas tersebut, sedarlah kami; seluruh mahasiswa dan generasi muda bahawa PAS juga dalam beberapa pertimbangan tidak prihatin terhadap perjuangan generasi muda dewasa ini," katanya.

Menyentuh soal 'care taker government', atau kerajaan sementara, PMN meminta Abdullah agar lebih bersikap jujur dalam tempoh ini.

"Sepatutnya Abdullah tidak boleh tampil dalam masyarakat atau media massa sebagai Perdana Menteri Malaysia kerana Parlimen telah dibubarkan pada 13 Februari lalu. Penampilan tersebut bertentangan dengan prinsip demokrasi dan konsep pilihanraya," tegasnya.

Tegasnya, beliau hendaklah ditonjolkan sebagai Pengerusi Barisan Nasional atau Presiden Umno.

"Namun, harus dinyatakan di sini bahawa lawan Abdullah juga bukan bekas Perdana Menteri Malaysia atau representasi OIC melainkan hanya seorang aktivis mahasiswa Malaysia.

"Jika beliau tetap dengan representasi 'Perdana Menteri Malaysia' dalam tempoh 'care-taker government' ini, bermakna Pak Lah tidak menghormati lunas demokrasi di Malaysia," ujarnya lagi.

Tambah Azlan lagi, pertandingan mahasiswa dengan Bekas Perdana Menteri Malaysia ini adalah salah satu isyarat yang sangat jelas bahawa Malaysia seharusnya berfikir tentang keputusan nekad PMN untuk bertanding dengan Abdullah.

"Di Mana ada Pak Lah, di situ ada Mahasiswa!" katanya.

Selain itu, katanya lagi pilihanraya Umum Ke-12 adalah masa terbaik bagi PMN untuk menyampaikan hasrat Mahasiswa dan generasi muda di Malaysia.

"Kami berharap representasi mahasiswa di Parlimen Kepala Batas ini sekurang-kurangnya dinilai sebagai tindakan protes kami dengan sistem demokrasi Malaysia. PMN tidak pernah bermusuhan dengan mana-mana pihak baik kepemimpinan Barisan Nasional khususnya Abdullah, atau parti-parti alternatif," katanya.

Jelasnya,PMN hanya mahu memulihkan demokrasi Malaysia. Apa yang pasti, PMN akan terjun dalam masyarakat dan sistem demokrasi Malaysia melalui pertandingan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia. - mks.

Friday, February 1, 2008

Kenyataan Media Pengisytiharan Parti Mahasiswa Negara (PMN)

Di hadapan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, 7 Januari 2008

Introduksi Menelusuri perjalanan lanskap politik Malaysia pada masakini dan sejak tahun 1957, kami sekarang keluar daripada dunia kami atas dasar mengubah arena politik dan mewujudkan satu gelombong kesedaran baru dalam pentas masyarakat Malaysia hari ini. Semoga apa yang kita lakukan akan mendapat pertolongan dan dipermudahkan segala urusan. Lawak Jenaka Dan Tipu Daya Dalam Pentas Politik 50 tahun menelusuri kemerdekaan kita telah melihat banyak perubahan dan pembangunan malahan tidak dapat lari keruntuhan masyarakat Malaysia.

Malahan keruntuhan masyarakat mendominasi seluruh perjalanan Malaysia. Selama bertahun lanskap politik malaysia tidak berubah dan masih di takuk lama. Pertandingan antara golongan aristokrat yang diwarisi dari generasi mereka yang sebelum. Walaupun terdapat mereka yang berusaha mendaki ke atas akan tetapi jatuh mengikut masa. Arena politik Malaysia masih menyaksikan pertembungan 2 kelompok parti dominan sejak hampir 50 tahun yang lalu yang masih tetap berpencak dan bertelingkah sesama sendiri. BN dan BA (PAS) adalah ibarat pelawak dan badut-badut yang sentiasa sinis dan akan terus bertelingkah sesama mereka walaupun rakyat semakin tercemar dan terus tertindas. Lebih banyak kata-kata kosong diucapkan berbanding yang lebih relevan dan rasional. Perbincangan dan perbahasan perkara remeh menggambarkan tiadanya keintelektulan di dalam gaya hidup mahupun tingkah laku. Kenyataan dan komen remeh. Ya, ramai di kalangan mereka yang menjadi pemerintah di atas sana. Faktor Yang Di ambil kira Menyedari hakikat untuk mewujudkan suatu gerakan yang lebih dinamik daripada rakyat untuk rakyat, bukan sekadar faktor aristokrasi (kebangsawanan) dan bukan untuk kepentingan seseorang dan bukan untuk menjadi gerakan stereotaip dan konvensional.

Demi perubahan, kita telah melihat bukti daripada kedua-dua pihak samada kerajaan yang telah lama memegang tampuk pemerintahan mahupun pihak pembangkang yang seringkali mendakwa mereka telah berhempas pulas walaupun pada hakikatnya kita tidak melihat apa-apa kesan dari mereka. Stereotaip pergerakan yang diwarisi semenjak zaman-berzaman telah membuatkan sebahagian daripada manifesto dan agenda yang didukung tidak lagi rasional dengan keperluan semasa. Jadi, kami selaku mahasiswa tampil untuk berpadu bersama masyarakat mendepani segala risiko untuk memikul tanggungjawab dan pertimbangan untuk menghadapi cabaran untuk merubah paradigma dan stereotaip lanskap politik Malaysia kearah gerakan yang lebih dinamik.

Kami bukannya pembawa gerakan kebangsawanan malah bukan juga atas dasar kepercayaan keramat. Kami selaku mahasiswa sentiasa bersama masyarakat. Berdasarkan rekod yang telah terbukti dan juga keadaan yang dilihat saban hari semenjak dahulu lagi telah menodai masyarakat kita samada dari aspek moral mahupun tatasusila sepertimana yang telah dipamerkan oleh ‘para politikus’ sekarang.- Penjawat kerajaan. Masih lagi dihantui dengan unsur kronisme dan juga nepotisma. Walaupun tidak dapat dibuktikan melalui sistem keadilan, namun rakyat tetap merasakan adanya kepincangan di sana sini di dalam pemerintahan sekarang. Pertelingkahan yang berpanjangan sesama mereka sudah di luar kawalan. Persoalan yang tidak sudah-sudah di dalam benak rakyat Malaysia dan juga NGO tentang hak rakyat dan warganegara. Sampaikan pada satu tahap saban hari berlakunya pelbagai versi perarakan raksasa rakyat menggambarkan kesedaran rakyat terhadap isu yang berlaku dan situasi sebenar sekarang di Malaysia.-
Pembangkang yang masih belum berjaya menjadi penstabil (check and balance) kepada kerajaan yang sedia ada, malah, mereka dibanjiri dengan kepentingan sendiri dan isu. The round up of their act clicks and their internal problems yet dispute. Status quo keadaan semasa di Malaysia langsung tidak pernah dicabar semenjak tahun 57 lagi. Rakyat Malaysia terlalu cepat berpuas hati tanpa adanya keinginan untuk satu reformasi kearah sesuatu yang lebih baik. Keinginan itu mungkin ada, namun, kekangan dan juga dinding penghalangnya adalah terlalu tebal dan mereka yang inginkan adanya arus perubahan mahu tidak mahu terpaksa menanggung akibatnya.

Ikrar Kami Kepada Rakyat Malaysia Kami menyedari ideologi rakyat Malaysia dan kami yakin dengan kesepaduan seluruh rakyat Malaysia. Kami langsung tidak terikat dengan mana-mana parti samada BA ataupun BN. Daripada mahasiswa untuk masyarakat, kami akan terus-menerus berhempas-pulas demi rakyat Malaysia.

Kecenderungan untuk memilih BN dan BA pada hemat kami selaku mahasiswa adalah tidak lagi relevan dengan situasi semasa. Maka tidak akan adanya lagi para pelawak atau ’badut-badut’ yang akan berada di dalam kerajaan kita dengan segala kepincangan yang mereka sedar dan mereka lakukan hanya untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan nasib serta hak kebajikan rakyat, mereka akan terus lakukan malah terus diamalkan.


Bersama Menggasak Perubahan! Sumpah kami untuk rakyat Malaysia. “Mahasiswa Bersama Rakyat” Deklarasi oleh:Parti Mahasiswa NegaraStudent National Party.