Wednesday, November 21, 2007

Akhlak NIlai Kesempurnaan Peribadi

Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya

Empat penanda aras kembalikan kecemerlangan, kekuatan umat Islam


JIKA menilai di antara dua insan berlainan imej, anda akan tertanya siapakah antara keduanya yang mewakili nilai Islam sebenar? Sungguh ramai keliru manakah yang Islamik dan tidak Islamik.

Antara seorang yang rajin solat duha ketika dalam keadaan bertugas dan bekerja, atau yang meninggalkannya kerana tidak mahu membuat pelanggan menunggu hingga menjejaskan kerja dan khidmatnya.

Antara orang yang mengantuk ketika mesyuarat kerana semalaman bertahajud atau orang yang cergas lagi amanah tetapi tidak sembahyang. Ada pula yang kaki masjid tetapi pemalas dan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Sedangkan yang berjaya dalam perniagaan selamba saja lupakan Tuhan.

Yang bertudung kadang-kadang sama perangai dengan yang bertelanjang, bahkan lebih teruk lagi. Hingga mereka yang membenci tudung dan hijab beralasan dan membuat hukum sendiri, “Baik tudungkan hati sebelum kepala.”

Ajaran Islam menjadi begitu kabur dan luntur dalam pemikiran mereka. Disebabkan seseorang yang mencemarkan imej Islam maka ramai terlalu emosi hingga menidakkan syariat. Begitulah keadaannya ketika menilai paras keislaman seseorang, kadang-kadang kita tertipu oleh pandangan mata zahir.

Yang lemah-lembut kita kata baik budi walaupun jiwanya terlalu lembut hingga takut menyatakan mana yang hak dan batil sehingga ramai orang berpeluang menzaliminya. Sedangkan yang tegas dan rasional dipandang masyarakat sebagai biadab, walaupun dengan cara itu dia boleh menegakkan makruf dan membela maruahnya.

Bagaimanakah seharusnya seseorang menegakkan jati dirinya sebagai Muslim sebenar yang mengikut cara dan Sunnah Rasulullah SAW?

Umar bin al-Khattab pernah dicadangkan dengan seorang pemuda yang akan dipilih sebagai pekerja dalam pemerintahan beliau. Mereka yang memilih pemuda itu berkata: “Dia seorang Muslim yang amanah, dia sentiasa berada di masjid untuk beribadah.”

Umar berkata: “Adakah kamu semua pernah bersama dengannya untuk waktu yang lama? Adakah sesiapa yang pernah bermusafir dengannya? Sesungguhnya kamu semua belum lagi mengenali pemuda itu.”

Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadat dilakukannya tanpa melihat dari segenap aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi Muslim padanya. Di sinilah Islam meletakkan sistem akhlak sebagai penanda aras kecemerlangan peribadi Muslim.

Tiga penanda aras lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadat dan muamalah. Setiap Muslim cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan itu. Sewajarnya seorang Muslim menyempurnakan peribadinya dengan hanya mengambil contoh teladan seorang insan agung, Rasulullah SAW. Tiada yang lain menjadi sandaran dan kekuatan melainkan peribadi Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiada seorang Nabi pun di kalangan mereka yang diutuskan kepada umat sebelumku melainkan mereka mempunyai pengikut dan sahabat yang mengikut sunnahnya dan meneladaninya. Kemudian akan ada generasi selepasnya, yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan serta melakukan apa yang tidak disuruh. Barang siapa yang menentang mereka dengan tangannya bermakna dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah beriman dan sesiapa yang menentang dengan hatinya maka dia adalah seorang yang beriman. Tidak ada yang selain dari itu keimanan padanya walau sebesar sebiji sawi.” - (Hadis riwayat Muslim)

Jika begitu, setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati, saat dia bermaksud melakukan apa juga perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan sunnah Rasul-Nya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang yang meninggalkan sunnah.

Seorang Muslim juga amat teliti menyaring unsur asing yang mempengaruhi peri lakunya. Dengan ilmu dan kajian, dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hari ini, di luar sana kita melihat pemandangan mengelirukan mengenai imej Islam. Tidak nampak perbezaan antara Muslim dengan bukan Muslim daripada segi penampilan, pertuturan dan perwatakan mereka.

Akhlak Islam terlalu kabur dalam pemikiran generasi muda yang sudah berkiblat kepada nafsu dan kebendaan. Peranan pembawa mesej Islam juga terlalu kolot dan menakutkan sehingga umat semakin lari daripada agama.

Islam tidak dihantar ke hati mereka dengan rahmat dan keindahan Islam. Mereka yang kolot ini suka menggambarkan Islam dengan pelbagai aneka kesusahan dan kesempitan. Segalanya haram dan dosa, sehingga seolah-olah sukar mencari yang halal dan berpahala.

Sedangkan bilangan perkara haram disebut al-Quran dan al-Hadis terhad bilangannya berbanding yang halal. Bagaimana mungkin seseorang baru berjinak dengan Islam dibebankan dengan amaran siksa dan azab padahal sepatutnya mereka diberi khabar gembira dengan luasnya ampunan dan kasih sayang Allah .

Mesej akhlak Islam yang mesra dan mudah sepatutnya diamalkan pendakwah untuk menarik minat masyarakat kepada ajaran Islam. Begitu pula ahli korporat Muslim, seharusnya menampakkan imej cekap dan profesional dalam menepati nilai ihsan dalam bekerja.

Malangnya, ramai memilih berurusan dengan bukan Islam disebabkan mereka lebih terkehadapan dan amanah dibandingkan orang Islam. Di sinilah kita melihat betapa akhlak amat berpengaruh dalam membina umat.

Sebenarnya kecekapan, amanah, profesionalisme, dinamik, progresif dan istilah seumpama ini berasal daripada sistem akhlak Islam yang sudah diterapkan Baginda Rasulullah SAW dan diamalkan secara berterusan oleh umat Islam ketika membina empayar Islam yang ulung pada masa lalu.

Untuk memperoleh kejayaan itu semula, umat Islam mestilah menemukan kembali kekuatan umat dengan berniat dalam hati bahawa apa saja pekerjaan dilakukan hendaklah semata-mata untuk Islam dan anda wajib menjaga nama baik agama supaya tidak tercemar pada perbuatan seharian.

Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembap, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang yang mengaku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular yang tempang, yang memisahkan Islam daripada inti pati asalnya.

INTI PATI- Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadat dilakukannya tanpa melihat daripada segenap aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi Muslim padanya.

- Tiga penanda aras lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadat dan muamalah. Setiap Muslim cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan itu.

- Setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati, saat dia bermaksud melakukan apa juga perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan sunnah Rasul-Nya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang yang meninggalkan sunnah.

- Seorang Muslim juga amat teliti menyaring unsur asing yang mempengaruhi peri lakunya. Dengan ilmu dan kajian, dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak

- Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembap, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang yang mengaku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular yang tempang, yang memisahkan Islam daripada inti pati asalnya.

Monday, November 19, 2007

Islam Meraikan Perasaan Seseorang

Friday, November 16, 2007

Kejayaan dalam hidup bergantung pada niat betul, jelas tujuan

Jendela Hikmah:Oleh Annuar Sallehwanitajim0@yahoo.com

HADIS Nabi SAW yang masyhur dan diriwayatkan Umar al-Khattab bermaksud:

“Sesungguhnya sesuatu amal itu (bermula) dengan niat. Sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana mendapat keredaan Allah dan Rasul-Nya, maka dia akan mendapat Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita yang ingin dikahwininya, maka dia akan mendapat apa diniatkan itu.”

Firman Allah bermaksud:

“Berdoalah kamu kepadaku, nescaya akan Ku perkenankan permintaan kamu.”
Niat juga disebut sebagai qasad atau maksud tujuan. Dalam istilah perancangan disebut sebagai objektif atau matlamat.

Hadis itu menegaskan sesuatu amalan menjadi sah di sisi syarak ialah dengan sahnya niat. Sesuatu amalan diterima sebagai pengabdian kepada Allah juga dengan niat dan satu perspektif lain ialah sesuatu kerja itu akan berjaya mencapai kejayaan bergantung kepada niat.

Tiga perspektif penting dijelaskan dalam hadis itu ialah :

- Sah atau tidak amal ibadat bergantung kepada niat dan betul dengan cara disyariatkan.
- Sesuatu amal ibadat tidak akan mendapat ganjaran jika tidak ikhlas kepada Allah .
- Sesuatu amal, kerja dan usaha akan gagal jika tidak jelas maksud tujuannya.

Niat adalah amalan hati, minda, emosi dan anggota badan secara serentak. Anggota badan akan bergerak melakukan apa yang ia mahu atau menjauhi apa yang ia takut. Gerakan ini bermula dengan satu keputusan diputuskan oleh hati.

Keputusan itu berpunca daripada wujudnya kemahuan yang kuat dalam diri. Kemahuan yang kuat dicetuskan rasa seronok atau takut. Keseronokan dan ketakutan adalah emosi yang lahir daripada gambaran yang ada dalam minda. Gambaran dalam minda boleh diciptakan kita sendiri atau terkesan dengan gambaran yang wujud di luar kehidupan kita.

Objektif hidup jelas disebut juga impian yang jelas. Ia adalah gambaran masa depan yang kita inginkan berlaku dalam diri. Kita tidak akan berjaya membuat kek buah yang sedap jika kita tidak berniat untuk membuatnya.

Walaupun kita berazam hendak membuat kek buah yang sedap, kita tidak akan berjaya jika kita tidak mampu membayangkan rupanya, aromanya, rasanya, kelembutannya dan mendengar bagaimana orang memuji keenakannya.

Walaupun kita sudah dapat membayangkan matlamat, kita juga tidak akan berjaya jika kita tidak tahu apakah cara membuatnya, bagaimanakah adunannya dan langkahnya satu persatu. Jika kita berjaya membuat sebiji kek buah, melalui tunjuk ajar pakar dan kita merasai keenakan masakan itu sudah pasti kita mampu mengulanginya. Gambaran objektif yang jelas untuk membuat kek buah adalah contoh bagaimana minda kita berperanan.

Kejayaan hidup ialah kejayaan mencapai impian hidup digambarkan dengan sejelas-jelasnya dalam minda. Apa yang kita lihat wujud di dunia ini asalnya adalah impian orang yang mewujudkannya.

Mercu tanda negara seperti Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan banyak lagi bermula daripada sebuah impian yang jelas, kemahuan membakar dan usaha tindakan tidak pernah mengaku kalah kepada cabaran kehidupan yang menghalang.
Bayangkanlah, impikanlah apa saja yang kita mahu, ia adalah percuma dan Allah akan kurniakan segala sangka baik kita kepada-Nya. Cuma awas, jika impian itu menjadi sesuatu yang menyakitkan, kita tidak akan berjaya mencapainya kerana kesakitan dalam minda adalah satu halangan.

- Annuar Salleh ialah Perunding Kewangan Islam yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Tuesday, November 6, 2007

Pengumuman : Hijrah,Finalized !



Assalamualaikum WBT.

http://presidenkini.blogspot.com/ mengalami masalah teknikal apabila ia tidak dapat dipaparkan bermula pada jam 2300, Sabtu 5 November 2007. Sekarang, ia sudah ditukar kepada url yang baru iaitu, http://zulkifliyaakob.blogspot.com/ . Semoga pembaca dapat bersabar dengan kesulitan ini. Terima kasih.

p/s: doakan, kejayaaan baki final exam sy pd 12 dan 13 hb 11 ini.

Yang benar,
Presiden.