Tuesday, January 22, 2008

Hapuskan Airmata itu

Bismillahirrahmanirrahiim...

Semalam... merupakan hari terakhir penaku menari... atas helaian kertas yang minta diisi ... biar ia penuh dihiasi ayat-ayat yang menjadi benih setiap titis keringat ku ini...

Semalam juga... hari yang minta diisi dengan senyuman dan tawa... kerna 22 tahun yang lalu..

Semalam juga... sepatutnya airmata ini deras mengalir... kerna lamanya tertahan... cuba bertahan.. cuba untuk tidak dilayan...

Ketika teman-teman yang lain puas meluah segala rasa... puas mengalirkan airmata... aku masih lagi di sudut itu... cuba menahan esakanku...

Cuba ku salut hiba ini dengan pujukan.. jangan biarkan airmata ini jatuh ke bumi walau setitis... tapi aku seolah - olah tak berdaya.. perjuangan yang ku tempuh selama 32 minggu ini mematikan segala daya yang ada...

Aku tak tahu bagaimana caranya... menyusun segala sebab untuk membiarkan manik-manik jernih itu gugur ke bumi ... kerinduan .. kehilangan... keletihan... kerunsingan ...

dan aku masih lagi di sini... cuba menghapus airmata itu...

Wednesday, January 16, 2008

Bila Akal Hilang

Oleh Rozana Hamim

Seseorang tidak menderhakai Allah melainkan setelah akalnya hilang.

“Apakah kamu tidak berakal?” demikian soalan Allah s.w.t. kepada kita semua di dalam al-Quran. Persoalan yang terkandung di dalam ayat suci itu, kalau dihayati dan dikaji oleh kita yakni sekalian umat Islam secara mendalam dan tekun, nescaya akan membuahkan hasil yang hebat, natijah yang mengagumkan serta manfaat besar yang boleh dikongsi oleh seluruh umat manusia.

Namun, hari ini kita sedang melihat umat Islam seakan-akan jauh ketinggalan dalam menghayati cabaran dan seruan Ilahiyyah ini. Dalam ertikata yang lain, pemanfaatan akal tidak berlaku semaksimum mungkin di kalangan kita, hingga menyebabkan kita, selain terus bergantung harap dan belas kasihan dengan musuh-musuh Islam, turut menjadi mangsa ratahan mereka. Sudahlah iman kering kontang di jiwa, akal pula tidak lagi berpandukan kebenaran. Kala itu, syaitan dan hawa nafsulah bertukar menjadi tuhan sembahan walaupun mulut terkumat-kamit mengaku hamba Allah .

Astaghfirullah!! Mana perginya kewarasan akal apabila anak gadis seusia 10 tahun dirogol dan diliwat tanpa belas kasihan?? Ke mana hilangnya kemuliaan akal bila seseorang tergamak menjadi pembunuh kejam?? Kenapa dan mengapa anak yang ditatang penuh kasih dan sayang oleh ibu bapa bertukar menjadi bongkak, sombong dan derhaka di usia senja mereka??

Persoalannya, kenapa akal seseorang insan boleh menjadi selemah, sebebal, selembab dan setolol itu? Jawapannya, adalah kerana maksiat yang ia lakukan. Kata para ulama, maksiat itu merosakkan akal. Kerosakan maknawi berlaku tanpa ia sedari. Awalnya, di dalam akal ada nur yakni cahaya. Bilamana maksiat dilakukan tanpa dituruti taubat, ia langsung bertindak memadamkan cahaya Rabbaniyyah itu. Kesan terpadam dan lenyapnya cahaya itu membuatkan hati menjadi lemah dan lembab.

Di kalangan ulama salaf ada yang mengungkapkan: “Seseorang tidak menderhakai Allah melainkan setelah akalnya hilang”. Memang ada kebenarannya. Cuba kita renungkan. Jikalau seseorang itu sempurna akalnya, nescaya akal murninya akan bertindak menghalangnya dari melakukan kemaksiatan itu. Sesebuah kampung, daerah dan negeri ternyata di ambang bahaya sekiranya lambat mengesan dan merawat individu-individu ‘hilang akal’ dan ‘belum mumayyiz’ (tak dapat membezakan baik dan buruk) di kalangan mereka.

Bila akal hilang, akan banyak berlaku suami menampar dan menjatuhkan talak ke atas isteri sewenang-wenangnya. Isteri bermain kayu tiga semau-maunya. Bapa menodai anak gadis sendiri tanpa rasa bersalah lagi. Tuan rumah mendera pembantu sesuka hati. Remaja berpeleseran dan berzina tanpa segan silu. Ahli politik menyogok dan menyuap rasuah tanpa batasan. Para peniaga menekan pengguna tanpa belas kasihan. Dan banyak lagi…

Seseorang yang akal murni masih bersamanya selalu menyedari dan akur bahawa Allah sentiasa melihat, mengawasi dan memantaunya sama ada di rumahnya atau di mana sahaja. Dia sedar para malaikat khasnya Raqib dan ‘Atid turut menyaksikannya. Selain itu, ingatan dan ikatan padu jiwanya terhadap al-Quran, keimanan, kematian dan seksa neraka akan menghalangnya terjebak ke kancah kehinaan itu. Malah dia sedar, betapa tersilap langkahnya menceburi kemaksiatan akan memisahkannya dari segala kebaikan duniawi dan ukhrawi.

Pastinya kebaikan duniawi dan ukhrawi itu berlipat kali ganda melebihi kelazatan, keseronokan dan hiburan duniawi yang dikecapinya secara kotor dan keji itu.

Akhirnya, kita soal diri sendiri, adakah manusia yang sihat dan waras akalnya, akan melakukan perkara-perkara melanggar batasan agama, akhlak serta resam budaya itu? Sama-samalah kita memelihara ‘cahaya’ yang tersembunyi kurniaan Ilahi itu.